Chapter Text
Cahaya hanya melayangkan pandangan redupnya pada pusara
yang terlantar di hadapannya. Seorang diri. Sungguh, tidak pernah terlintas di benaknya bahawa ajal adiknya akan tiba sebegitu awal. Tidak lagi disiramkan air atau diharumkan minyak wangi kegemaran arwah Daun. Dia hanya menatap buat seketika.
Hampir separuh tahun berlalu semenjak kali terakhir Cahaya menjenguk. Kali terakhir, dia datang permulaan tahun itu bersama ayahnya. Ibunya hanya mengirimkan salam. Tidak wajar kalau ibunya yang berumur itu datang ke tempat perkuburan yang mungkin akan menyebabkannya tercedera. Ayahnya yang mendampinginya harus dipapah. Khuatir ayahnya walaupun sihat walafiat itu mungkin tersandung kubur anak orang lain.
Kain putih yang membaluti bahagian atas batu nisan Daun mula kelihatan kelabu. Luntur warnanya, dimamah air hujan dan matahari terik yang kian berkala. Lalang-lalang kecil timbul di celah-celah yang bertanah. Ada yang layu, warnanya perang dihangus mentari. Ada yang mekar menjadi bunga, menjalar meliputi pusaranya.
Kubur adiknya terlindung dari matahari oleh pokok mangga yang tumbuh di atas kubur bersebelahan. Agak kesian, si budak lelaki yang terkubur di bawahnya. Sudah lama pusaranya diabaikan. Entahkan dia masih mempunyai keluarga atau kaum kerabat yang peduli akannya ataupun tidak. Kadangkala, Cahaya akan merapikan kubur itu serba sedikit. Hanya sekadar agar tidak mengganggu tubuh yang terbaring bersebelahannya.
Cahaya mengetepikan ranting-ranting kecil yang telah menimpa permukaan gumpalan tanah di atas Daun. Setiap pergerakan diikuti selawat dan doa, memanjat kepujian kepada Illahi, memohon setulusnya agar urusan adiknya dipermudahkan. Habuk dari rekahan ranting itu melekat pada tangannya. Mungkin semalam cuacanya hujan, Cahaya mengagak.
Lalu Cahaya mencabut lalang-lalang dan tumbuhan kecil itu. Apabila Daun berjalan di tepi jalan raya, dia sering berlegar-legar untuk bermain-main dengan bunga malu-malu yang terdapat di simpang jalan. Hilai tawa akan menyusul apabila dia geli melihat dedaun pohon itu menutup dengan sendirinya. Daun juga suka memetik bunga-bunga kecil dari rumput, membawanya pulang.
Ibu mereka akan selalu berleter, memarahi Daun kerana dia mungkin terbawa benda yang bukan-bukan bersama apa yang dipetiknya. Tetapi Daun tidak sekalipun peduli. Setiap minggu dia akan membawa pulang sekuntum bunga. Meloncat-loncat apabila menghalakan harta karun baharunya tepat di muka Cahaya. Sebagai abang, dia hanya tersenyum kecil sambil tergeleng kepalanya.
Dulu, Cahaya tidak mendengar penjelasan teruja adiknya bila melontarkan fakta tentang hasil petikannya. Namun kini, dia sering mendapati dirinya menyelusuri lelaman web untuk mencari maklumat tentang debunga yang Daun kongsikan seketika dahulu.
Sementelah itu, Cahaya mengeluarkan sebotol kecil minyak wangi Kasturi dari koceknya. Dibeli dari kedai yang sama. Penutup botolnya hijau, warna kegemaran Daun. Memulas penutup botol itu, Cahaya menghirup nafas yang dalam. Inilah bau yang sering dikenakan pada Daun sewaktu dia berada di dalam hospital. Katanya, bau hospital itu pelik, bau ubat yang membuatnya ingin menjeluak. Cahaya hanya menuruti permintaan adiknya, pada waktu itu. Sekarang, bila masa dia ingin mengenang adiknya, dia menghidu bauan itu.
Cahaya menggosok bebola kecil yang mengeluarkan minyak itu ke telapak tangannya. Mengumpulkan minyaknya lalu ditekap sedikit demi sedikit menggunakan salinan kain putih yang dibawa. Risau nanti ia akan melembapkan kayu nisan Daun hingga reput berkulat atau berbau hapak apabila melekat sisanya.
Murai mula berkicauan secara tiba-tiba, terbang bertebaran entah ke mana. Cahaya mengerti maksud di sebaliknya, namun diabaikan sahaja. Dia masih belum menyelesaikan apa yang perlu. Tidak pula Cahaya membuka payung yang dibawanya. Daun mesti suka berbasah kuyup di bawah hujan bersamanya. Terimbau masa mereka dimarahi ibu mereka bersama-sama kerana menari-nari di bawah rahmatNya.
Cahaya semakin lama tidak mengajak Daun ke luar apabila hujan, semenjak dia dipindahkan ke hospital. Waktu itu, Daun sering menarik kemejanya dengan perlahan untuk mereka bersama memandang jendela. Pesakit tidak dibenarkan meninggalkan katil mereka, apatah lagi menjejak kaki di luar bangunan. Secara senyap, itu pun meresap menjadi sebahagian masa silam. Sehingga hujan hanya disapa dengan hening, tiada pujukan sekalipun yang dibuat sesiapa.
Selepas mengikat semula kain putih baharu itu pada kayu nisan Daun, Cahaya duduk bersila di atas konkrit yang berada di persekitaran Daun. Berhati-hati agar tidak termasuk lubang atau terdudukkan semut. Punggungnya mula kebas, tidak biasa duduk tanpa alas. Namun sakit itu diletak ke tepi sambil membuka mushaf yang tertulis ayat-ayat suci Al-Quran, surah Yasin. Membuka muka surat pertama buku itu, terasa seakan badan Daun tersandar pada bahunya, kelaziman adiknya apabila mereka membaca surah yang panjang sekeluarga.
Di sekeliling Cahaya, kepulan awan yang gelap sudah mula berkerumun, menyelubungi langit dengan kelabu. Cahaya menutup matanya, menghayati makna apa yang melepasi bibirnya. Bau hujan mula menyusup masuk ke dalam rongga hidungnya. Terbangkit senyuman kecil di bibirnya yang masih terkumat-kamit. Rintik-rintik mula jatuh, menitik perlahan. Setiap titik yang mencecah tanah, menjadi latar pada seorang abang yang terduduk di sebelah adiknya.
Suara Cahaya goyah, namun tidak terhenti. Daun akan selalu mengusiknya, katakan dia telah pecah suara dan akan kedengaran seperti katak buat selamanya. Tapi sekarang, jika Cahaya terpecah suaranya beribu kali pun, tiada yang akan usik. Biarpun Cahaya tidak membiarkan nadanya retak. Meneruskan dengan selancar mungkin, di tengah hujan yang semakin deras jadinya.
“Wa ahk—, astaghfirullah. Wa ahk—“
Terus Cahaya membisukan dirinya. Dia telah memaksa tekaknya untuk melontarkan huruf-huruf dan kini dia tanggung akibatnya. Kerongkongnya perit dengan sedu yang dia telah menahan sejak ayat pertama. Rasa gatal menyerbu mata dan hidungnya. Kesejukan hujan kini baru benar-benar menusuk tulangnya. Semua pancainderanya seakan berpaling tadah, merusuh tubuhnya.
Cahaya cuba menyambung lafaznya. Lidahnya degil tidak mahu mengikut kehendaknya. Jadi dia mendiamkan diri lagi. Seperti dia telah lakukan untuk mendengar apa yang Daun ingin katakan. Cahaya tidak pernah memintas kata adiknya sewaktu di hospital. Mesti Ardan kecewa jika dia tidak memberikan ruang untuk dia membisik dengan nadanya yang semakin surut itu.
“…Tinggalkan abang…Ibarat kapal tidak berhaluan.”
Daun menggemari lagu itu. Apabila dia mampu, dia akan menyanyi atau bersenandung irama lagu itu. Kalau tidak, dia akan minta Cahaya menyanyikannya. Cahaya pernah bertanya kepada Daun, selepas dia selesai menyanyikannya. Kenapa dia menyukai lagu itu.
“Sebab kalau adik tinggalkan abang…takut abang jadi si kapal tu.”
Cahaya ingin menerjah. Mengelakkan Daun dari berbicara soal hidup dan mati. Doktor kata Daun ada kemungkinan untuk sembuh. Cahaya tidak perlu kalimah yang berbentuk sedemikian. Kan petua orang tua, benda yang buruk jangan didoa-doakan.
“Jadi adik nyanyilah. Jadi abang tak terlupa yang abang selalu disayang.”
Begitu senang adiknya menyampaikan isi hatinya. Nasihat itu telah disemat dalam Cahaya. Cuma kenangan mereka pula yang menjadi kapal itu, pada mulanya. Menjadikan fikirannya berkecelaruan malam demi malam. Tidak lekang benaknya, bimbang akan adiknya yang berada di alam sana.
Namun kasih menjadi tautan antara keduanya, setelah masa yang panjang berlalu. Apabila dia semakin mendewasa, dia mula belajar ertinya tawakkal. Bertawakkal, terserah kepada takdir Illahi bahawa adiknya sudah bertemu kedamaian. Kepercayaan itu menjadi sauh, menyakinkan dirinya bahawa takdir itu wujud.
Walaupun takdir yang Cahaya harus menerima itu umpama bunga malu-malu.
