Chapter Text
"Jadi awak tak balik dah la ni?"
Azura pandang bayangannya di cermin bilik, tangan masih erat pegang telefon ke telinga. Rambutnya masih bersepah, hanya bahagian kiri kemas disisih. Sikat masih dipegang erat dengan tangan kirinya. Dia menghela nafas perlahan apabila mendengar suara Adli—pecah-pecah, barangkali sebab servis teruk di Anchorage.
"Nampak gayanya macam tu la. Ada… masalah sikit dengan business partner kat sini."
Terdengar hilai tawa wanita di sebelahnya sebelum Adli bisik suruh diam.
Azura membalik mata. Penat. Jam masih tiga pagi. Dah agak jantan tu memang tak guna.
"Kita putus je lah." Azura tak tahu kenapa kata-kata tu boleh keluar dari mulutnya dengan begitu senang.
"Hah? What? Sayang, what do you mean?"
"Putus. Kita putus. Saya penat, Adli. Awak dah berapa bulan cakap nak bertunang tapi perangai macam tak kisah pun. Awak makin menggatal nak pergi melancong kesini-sana adalah. Sekejap ke Singapura, sekejap ke Amerika. Bila saya call ofis awak, katanya awak takde business meeting pun. Saya sanggup bangun awal semata-mata nak call awak, punyalah saya mengalah sebab awak cakap time zone kita jauh sangat. Saya yang call awak tau. Not the other way around. Never the other way around. Mesej tak balas, tapi kat media sosial bukan main aktif, post gambar mengalahkan artis."
"Sayang—"
"Jangan call saya lagi."
Azura matikan telefon dan terus meletakkan kedua-dua tangan di atas mukanya sambil mendesah kuat. Dah. Sudah. Dia dah tak kisah, dah tawar hati dengan pujuk rayu Adli. Pergi mampuslah dengan kata-kata manis dia tu, lantaklah dia nak hantar karangan berjela-jela pun. Azura dah penat. Dia nak move on.
Dia dah tak kenal siapa yang membalas pandangannya di cermin. Ni bukan Azura yang dia kenal. Azura yang dia kenal takde kesan lebam bawah mata sebab bersengkang mata dan menangis setiap malam. Azura yang dia kenal terurus, ceria, bahagia. Azura di hadapannya lebih mirip hantu.
Malaslah nak fikir. Azura nak tidur.
Azura tak tahu bila jiran baru tu masuk rumah. Tapi nampak macam dia asyik sibuk. Pagarnya berbunyi setiap jam tujuh pagi, dan akan berbunyi lagi jam tujuh petang. Normal lah, bila menyewa unit condo di KL memang jarang bertegur dengan orang sekeliling, lagi-lagi kalau menyewa sekejap. Azura sangka mungkin si jiran baru ini tak sewa lama, jadi dia takdelah nak menyibuk.
Cumanya…
"Hello! Ada orang ke tak ni? Zura?"
Jiran barunya ini bising. Bukan bising melalak atau menyakitkan hati, tapi bising yang Azura tak pernah alami. Bising yang mengisi ruang hatinya yang kosong, bising yang buat kepala Azura berpusing, mindanya bercelaru.
"Ya! Sabar!"
Azura buka pintu depan, bibir tersenyum senget.
Nik berdiri tercegat, cekak pinggang untuk tunjuk macho, seolah-olah dia tak menghabiskan sepuluh minit melolong nama Azura macam anak kucing minta makanan.
"Hah, kenapa?" Azura kerut dahi, senyuman masih tak lekang. Cubaan untuk nampak garang, walaupun langsung tak berkesan pada Nik.
"Saja. Bosanlah cuti tak buat apa-apa. You buat apa tu? Busy ke?"
Azura cuit lengan Nik. "Isy, panggil macam ada hal penting. Rupanya saja je ya nak menggentel."
"Ala, salah ke?" Nik mengomel. "You masak eh? Sedaplah baunya, sampai masuk rumah I."
Azura buka pintunya dengan lebih luas, jemputan halus untuk Nik masuk. "Ya. Nasi lemak. Dah lama tak makan, tapi petang-petang ni mana ada orang jual. Nak keluar cari, malas."
"Oh, kenapa tak tanya I je? I boleh tolong belikan, atau kita boleh makan angin sama-sama sambil pusing cari kedai." Nik tanya sambil mengikut Azura kearah dapur.
Memang macam anak kucing minta makanan.
"Tak payah lah. Lagipun kalau masak, I boleh tentukan sediri, santan nak banyak mana, sambal nak pedas ke tak," Azura ambil pinggan, tangannya mencedok nasi dan sambal untuk Nik tanpa berfikir panjang. Mungkin sebab dah beberapa kali dia membenarkan Nik ke rumahnya, jadi dah terbiasa anggap jirannya seperti penghuni kedua. "Timun dah habis. Jadi kalini ada nasi, sambal dan telur je."
"Wow. Bina badan ke, semua protein ni?" Nik membuat lawak, tapi tangannya laju sambut pinggan yang dihulurnya. "Patutlah muka you gebu. Comel."
Azura tepis tangan Nik sebelum dia dapat sentuh nasi di pinggan. "Banyaklah. Basuh tangan dulu."
Nik membuat muka masam sambil mengorak langkah ke arah sinki. "Isy, ya lah. Garang betul kakak pengawas ni."
Azura mengangkat kening, matanya memerhati Nik basuh tangan. Dia mendekati Nik lalu menggeleng kepala apabila air merecik meresap ke lengan baju jirannya. Tanpa berfikir panjang, Azura terus tolong lipat kemas lengan bajunya. "Macam mana ni Nik, basuh tangan macam budak tadika. Sabun pun tak guna."
Nik hanya tersenyum kecil sambil memandang aksi Azura picit sedikit sabun ke tangannya. Senyumannya melebar apabila Azura tolong basuhkan tangannya sekali dengan perlahan dan cermat, setiap jari Nik diurut perlahan. Dengan jarak yang begitu rapat ini, Nik boleh mencium bau wangi syampu Azura dan merasa hangat badannya. Dia tak berkata apa-apa, cuma membiarkan Azura meramas lembut tangannya di bawah air sinki.
"Ha, barulah bersih."
Mata mereka bertentangan, dan dalam masa sesaat itu, Azura rasa jantungnya berdetak.
"Dah. Jom makan. I tahu you ni memang suka datang menghabiskan beras I." Azura berdehem lalu terus berjalan semula ke meja makan.
Nik hanyalah jirannya yang suka menyibuk. Jirannya yang kadangkala datang meminta Azura memasak, dengan syarat dia membelikan bahan-bahannya, kerana dia sendiri tidak pandai memasak. Jadi… kawanlah kan?
Kawan semata-mata.
Ya.
Kawan.
